
DSLR : Canon EOS 350D
Focal Length : 250mm
Exposure : 1/50 sec at f/5.6
Editor : Adobe Photoshop CS3
Memang adat di setiap masjid di seluruh Malaysia aku rasa. Setiap kali 10 malam pertama memang begitu meriah di masjid. Masuk malam ke 11 hingga malam ke 20, sudah nampak tanda-tanda yang masjid akan lengang. Memang adat aku rasa, dari dulu sampai sekarang aku lihat perkara ini berlaku setiap kali Ramadhan menjelang.
Kalau kita lihat perlawanan bola, separuh masa pertama mungkin boleh lagi pemain untuk mengintai kelemahan lawan tetapi apabila masuk separuh masa kedua, bukan lagi masa untuk pemain itu untuk mencari lemahan lawan tetapi terus berusaha untuk ke gawang gol untuk dapatkan gol. Saat separuh masa kedua menjadi genting dan menjadi sengit.
Itu perlawanan bola. Berhempas-pulas mencari gol, tapi kita di Ramadhan? Tak mahu bersusah-payah mencari keredhaan, kerahmatan, keberkatan, keampunan dari Allah? Aku bukan tok sheikh atau ustaz lepasan Al-Azhar, tapi aku punya mata dan akal untuk berfikir dan meluahkan apa yang aku nampak. Aku dapat rasakan, Melayu Islam khususnya, lebih kepada persedian untuk meraikan Eidul Fitri.
Tanya diri sebelum sambut Eidul Fitri. Adakah kau berpuas hati dengan puasa dan amalan yang kau lakukan di Ramadhan? Apa yang kau dapat sepanjang kau berpuasa? Rugilah mereka yang tak dapat merasa apa-apa melainkan rasa lapar dan dahaga. Bukan aku cakap tapi Rasulullah S.A.W sendiri pesan.
Bulan Ramadhan bulan untuk tingkatkan tahap iman kita kepada yang lebih tinggi iaitu taqwa. Boleh rujuk Surah Al Baqarah, ayat 183.
” Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa.”
dan Rasulullah melalui sabdanya yang diriwayatkan oleh Ahmad, An- Nasa’i dan Al Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadhan itu dibuka segala pintu Syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan…….”
Boleh tak aku klasifikasikan mereka yang lebih kepada sambutan berhari-raya sebagai melarikan diri daripada ayat-ayat Allah dan ucapan Rasulullah S.A.W? Fikir-fikirkan.
Jadi, sebagai saudara Se-Islam dengan kamu? Aku mengajak agar kita kuatkan diri untuk menempuh Ramadhan yang hampir ke penghujungnya. Jadikan 10 hari terakhir ini hari Ramadhan yang terbaik dan membaiki dan menyempurnakan amalan-amalan 20 hari yang telah berlalu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Sudah Di Mana Perjuangan Puasa Kita?