Semalam, Tazkirah Ramadhan untuk hari ke-5 memang membuka minda aku untuk berfikir sejenak berkaitan dengan beriman dengan sebahagian hukum dan mengabaikan sebahagian hukum yang lain. Dalam hal ini, aku fokuskan hal ini dalam aspek undang-undang negara.
Bagaimana Malaysia, iaitu negara Islam yang konon’nya disegani oleh negara-negara Islam yang lain boleh diangkat sebagai negara Islam sedangkan undang-undang dan hukum yang termaktub bukanlah sepenuhnya seperti yang telah ditetapkan dalam Al-Quranul Karim. Amalan beriman dengan sebahagian hukum dan mengabaikan sebehagian yang lain ini merupakan amalan kaum Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang menerima sebahagian dan menolak sebahagian hukum Allah di dalam Kitab Taurat dan Kitab Injil. Walhal sikap sedemikian itu telah ditempelak dan diberi amaran oleh Allah S.W.T dalam kitab Al-Quran pada surah Al-Baqarah, ayat ke-85, Allah berfirman yang membawa maksud ;
”Adakah patut kamu beriman dengan sebahagian daripada Kitab dan menolak sebahagian yang lain, maka tidak ada balasan bagi sesiapa yang melakukan demikian itu di antara kamu melainkan mereka akan ditimpa malapetaka dan kehinaan di dunia, dan pada hari akhirat pula mereka akan ditolak ke alam azab yang amat pedih. Kerana itu, ingatlah Allah tidak akan sekali-kali lalai daripada apa yang telah kamu lakukan”.
Bertambah pelik, Malaysia yang mencetuskan ideologi Islam Hadhari yang kononnya dilabel sebagai langkah yang bijak untuk melahirkan umat Islam yang berjaya tetapi langsung tidak memainkan peranan untuk mengubah undang-undang negara kepada undang-undang Islamik. Prinsip kedua Islam Hadhari iaitu “Kerajaan yang adil dan beramanah” langsung tidak memainkan peranan sebagai kerajaan yang beramanah. Beramanah bukan saja menjalankan tanggungjawab kepada rakyat malah wajib bagi pemerintah untuk melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menggunakan hukum Islam secara total.
Alasan yang mungkin kita dengar ialah, negara ini merupakan negara yang rakyat’nya terdiri dari berbilang kaum dan agama. Aku rasa mereka harus selak sejarah Islam bagaimana wujudnya negara Islam pertama iaitu Madinah yang juga terdiri dari berbilang kaum dan agama. Tiada alasan untuk tegakkan hukum Allah kerana Allah Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.
Setakat ini saja penulisan aku untuk kali ini, aku sudah cuba cetuskan reaksi untuk pembaca berfikir, jadi fikirlah sejenak mengenai apa yang aku kongsikan. Yang betul sila ambil yang salah sila tolak bulat-bulat.
Wallahu’alam.







